expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>
as l0ng as i breath...may G0d bless us...
Showing posts with label hadith. Show all posts
Showing posts with label hadith. Show all posts

Monday, 15 December 2014

HADIS 10 : TIDAK DITERIMA KECUALI YANG BAIK


Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya Allah itu Zat yang Baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang Mukmin apa yang diperintahkan kepada para Rasul. Allah Taala berfirman: “Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh.” Allah juga berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian.” 

Lalu Rasulullah saw menyebut seorang lelaki yang mengadakan perjalanan begitu jauh sehingga rambutnya kusut dan berdebu. Dia menghulurkan kedua tangannya ke langit (seraya berdoa): 
“wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Sedang makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dikenyangkan dengan barang yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya?” 

(HADIS RIWAYAT MUSLIM)

Hadis ini diriwayatkan ole Imam Muslim dalam Kitab Zakat (Bab: Ditermanya sedekah dari usaha yang baik dan keharusannya untk menjaganya) nombor 1015.

KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini adalah merupakan landasan dari beberapa kaedah dan pembinaan hukum Islam. Ia menjadi landasan dari perintah memperolehi yang halal dan meninggalkan yang haram, ia memiliki manfaat yang luas dan peranan yang tinggi dalam mewujudkan masyarakat Islam, yang mana di dalamnya seseorang itu mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri dan tidak menyakiti saudaranya sebagaimana dia tidak suka disakiti oleh orang lain. Tidak melanggar batas-batas syariat, sentiasa mencari yang halal yang penuh berkah dan kebaikan dan dia hidup bersama orang lain dalam ketenangan dan ketenteraman. 

INTISARI HADIS 

1. Sedekah dengan sesuatu yang haram itu tidak diterima Allah SWT.
2. Perintah supaya ikhlas dalam beramal.
3. Anjura supaya berinfaq dengan yang halal dan larangan berinfaq dengan yang haram serta diperbolehkannya makan makanan yang baik-baik.
4. Makan makanan yang baik-baik dengan maksud agar sihat dan kuat badannya, sehingga dapat menjalankan ibadah dan mendapatkan pahala.
5. Dalam hadis ini dijelaskan syarat-syarat diperkenankan doa dan perkara-perkara yang menyebabkan tertolaknya doa.
6. Sebab-sebab diterimanya doa adalah makan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram.
7. Disunatkan mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa.
8. Disyariatkan agar doa itu dilakukan berulang-ulang kali dengan disertai menyebut nama-namaNya
9. Diperbolehkan makan makanan yang baik dalam syariat umat yang terdahulu.

TAFSIR HADIS

Hadis ini menerangkan bahawa Allah SWT Maha Sempurna dan Maha Suci dari segala sifat kekurangan. Maka seseorang hamba itu tidak boleh mendekati Allah SWT dengan sedekah dari barang haram dan syubhat atau makanan yang tidak baik.

Allah membenarkan orang-orang yang beriman memakan makanan yang baik-baik, sebagaimana Dia memperbolehkannya bagi para Rasul. Disertai dengan amalan soleh dan bersyukur kepadaNya atas segala nikmatnya.

Kemudian nabi saw menjelaskan bahawa Allah SWT menyukai sedekah dengan sesuatu yang baik-baik dan tida menyukai perbuatan kecuali yang baik-baik. Lalu Nabi saw memberikan perumpamaan sebagai peringatan bagi umatnya agar menjauhi perkara-perkara yang haram. 

Baginda berkata: “Seseorang yang melakukan perjalanan yang jauh, mengikuti jalan Allah SWT seperti menunaikan haji, berjihad dan mencari nafkah dalam keadaan rambutnya yang kusut berubah warnanya kerana jauhnya perjalanannya, lalu dia menadahkan tangannya ke langit seraya berdoa kepada Allah SWT dengan merendahkan diri di hadapanNya. 

Meskipun demikian doanya tidak diperkenankan kerana pekerjaannya tidak halal.” Maka setiap mukmin hendaklah menghindari perkara-perkara yang boleh menyebabkan doanya tidak diperkenankan.

Semoga bermanfaat . Wallahualam 
Prepared by: Cik Muda

Saturday, 13 December 2014

HADIS 9 MENGAMBIL YANG MUDAH DAN MENINGGALKAN YANG SUSAH


Diriwayatkan dari Abu Hurairah Abdur Rahman bin Shakhr ra, dia berkata, aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Apa yang aku larang ke atas kalian, maka kalian tinggalkanlah dan apa yang aku perintahkan kepada kalian maka kalian laksanakanlah sesuai dengan kemampuan kalian. Kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kalian ditimpa kecelakaan disebabkan banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap para Nabi mereka.” 

(HADIS RIWAYAT AL BUKHARI DAN MUSLIM)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam Kitab Al-I’tisham bil-Kitab was-Sunnah (Bab: Meneladani sunnah Rasulullah saw ) nombor 6777. Dalam Kitab Sahih Muslim terdapat dalam kitab Al-Fadha’il (Bab: Mengagungkan Rasulullah saw, tidak banyak memperbanyak bertanya tentang hal-hal yang tidak penting), nombor 1337.

KEDUDUKAN HADIS

Para ulama menyebutkan bahawa hadis ini memiliki kedudukan dan faedah yang sangat tinggi sehingga hadis ini sangat penting untuk dihafal dan dibahas. 
Imam An-Nawawi berkata dalam Syarah Muslim ketika membahas berkenaan hadis ini: “Hadis ini adalah merupakan kaedah-kaedah Islam yang penting, bukti kemampuan Rasulullah saw, untuk mengungkapkan maksud dengan ringkas tetapi padat, yang merangkumi di dalamnya berbagai hukum yang tidak terhitung.”

Ibnu Hajar Al-Haitami berkata dalam Syarah Arba‘in: “ Ini merupakan hadis yang tinggi nilainya berkenaan dengan kaedah-kaedah dan rukun Islam, maka seeloknya hadis ini dihafal dan diambil perhatian terhadapnya.” 

Di samping kedua-dua pernyataan yang dikemukakan di atas, masih terdapat banyak lagi pernyataan para pensyarah hadis lain yang menunjukkan betapa pentingnya kedudukan hadis ini. Kepentingan kedudukan hadis ini adalah kerana ia memberi arahan supaya memberikan komitmen dengan syariat Allah Azza wa Jalla yang berkaitan antara perintah dan larangan, peringatan agar tidak melampui batas-batas yang telah ditetapkan dalam Kitabullah dan apa yang diterangkan oleh RasulNya tanpa berlebihan dan mengambil mudah, tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.

Keutamaan hadis ini akan kelihatan setelah perbahasan berikut ini akan terungkap makna dan tujuannya, serta akan jelas kebenaran perkataan para ulama yang membahaskan.

SEBAB MUNCULNYA HADIS INI

Sebab munculnya hadis ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya dari Abu Hurairah ra, dia berkata: “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami:
“Wahai manusia! Allah telah mewajibkan haji, maka tunaikanlah haji. “Maka seorang lelaki bertanya: “Adakah setiap tahun, wahai Rasulullah?” Rasulullah saw terdiam sehingga lelaki itu mengulangi pertanyaan sebanyak tiga kali, maka Rasulullah saw berkata: “Kalaulah saya mengatakan “ya”, maka haji itu pasti diwajibkan setiap tahun dan kalian pasti tidak mampu.” Kemudian Baginda meneruskan: “Tinggalkanlah apa yang saya tinggalkan bagi kamu sekalian. Sesungguhnya kebinasaan orang-orang sebelum kalian adalah kerana terlalu banyak bertanya dan ingkar dengan perintah Nabi mereka. Jika saya perintahkan kalian dengan sesuatu maka kerjakanlah semampunya dan apabila saya melarang kalian dari sesuatu maka tinggalkanlah.” Kitab Al –Haj (Bab: kewajipan haji sekali dalam seumur hidup) nombr 1337.

Terdapat keterangan bahawa yang bertanya adalah Al-Aqra’ bin Habis ra. Ibnu majah meriwayatkan di dalam kitab Sunannya, dari Ibnu Abbas ra: “Sesungguhnya Al-Aqra bin Habis bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah saw, haji setiap tahun atau sekali dalam seumur hidup?” Rasulullah menjawab, “Sekali dalam seumur hidup. Barangsiapa yang mampu maka kerjakanlah yang sunnah.” Kitab Al-Haj (bab: Fardhu Haji) nombor 2886.

Dalam riwayat Abu Daud: “Barangsiapa yang menambah, maka dia adalah sunnah”, (nombor 1721). Dalam Kitab Al-mustadrak: “Barangsiapa yang berkehendak, maka dia mengerjakan ibadah sunnah.” (Awal kitab Manasik).
Dikatakan bahawa peristiwa ini terjadi pada Haji Wada’ ketika Rasulullah saw sedang berkhutbah menjelaskan kepada manusia tentang agama Islam dan mengajarkan tentang ibadah-ibadah yang fardhu dalam Islam. 

INTISARI HADIS 

1. Perintah supaya taat kepada suruhan dan larangan.
2. Larangan lebih keras daripada suruhan, kerana larangan tidak mengenal erti keringanan untuk sekadar kemampuan.
3. Orang yang tidak mampu mengerjakan sesuatu kewajipan atau sebagainya, jatuhlah kewajipan itu, sama ada sebahagian atau seluruhnya. Allah SWT tidak membebani jiwa kecuali sesuai dengan kemampuan.
4. Larangan daripada banyak permasalahan yang dapat memberatkan dan membebani diri serta menimbulkan fitnah keragu-raguan dan kelalaian atau ketidakmampuan melaksanakannya. Adapun bertanyakan sesuatu urusan Al-Din atau dunia yang terjadi di antara manusia adalah diharuskan.
5. Peringatan bagi umat islam agar tidak bertentangan dengan suruhan Nabi saw (Jawami’ul-kalim adalah perkataan-perkataan Nabi saw yang pendek-pendek tetapi mengandungi muatan ajaran yang luas dan dalam) sebagaimana yang telah terjadi pada umat-umat sebelum mereka agar tidak binasa terhadap mereka yang telah binasa.

TAFSIR HADIS

Hadis ini merupakan salah satu dasar agama dan termasuk jawami’ul kalim (maksudnya, menambah atau mengurangi apa yang telah disunnahkan oleh Nabi saw seperti mengada-adakan yang tidak ada tuntutannya dalam Islam). Rasullulah saw memberi petunjuk kepada kita bahawa apabila Baginda melarang sesuatu, kita harus meninggalkannya secara mutlak tanpa ada pengecualian. Apabila baginda menyuruh sesuatu, hendaklah kita melaksanakannya menurut kemampuan kita dan baginda tidak bermaksud memberati atau membebani kita, ini adalah di antara kemudahan Ad dinul Islam. 

Memang Allah SWT tidak membebani jiwa kecuali yang sesuai dengan kesanggupannya. 
Kemudian Nabi saw, memberikan isyarat sebagai pelajaran bagi kita agar tidak menjadi seperti sebahagian umat di masa lampau yang telah bertentangan dengan suruhan Nabi mereka dan banyak bertanyakan perkara-perkara yang dapat memberatkan mereka. Maka Allah SWT menimpakan kebinasaan kepada mereka. 

Oleh kerana itu janganlah kita sebagai umat Islam menjadi seperti mereka, sebab nanti kita akan ditimpa kebinasaan seperti mereka 
Allah SW berfirman maksudnya:
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (AdDin) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.....” 
(Surah Ali Imran:103)

Semoga bermanfaat. Wallahualam.. 

Prepared by: Cik Muda

Syarah Hadis Jibril ( Bab Mukadimah)



Kita mulakan dgn menyebut hadisnya yg berbunyi :
Maksudnya :

Drpd Saiyiduna Umar r.a beliau berkata: ketika kami sdg duduk disisi Rasulullah s.a.w pd suatu hari, mncul sorg lelaki yg mengenakan baju yg sgt putih dan berambut sgt hitam,tidak nmpak pdnya bekas2 pjalanan jauh dan tidak ad seorg pun di kalangan kami yg mengenalinya. Hingga kemudian dia duduk dihadapan Nabi dan meletakkan kedua lututnya kepada lutut Baginda dan meletakkan kedua tgnnya dibatas pehanya(iaitu duduk penuh adab).

Lalu beliau berkata:
Wahai Muhammad,beritahukan aku ttg Islam?

Maka bersabda Rasulullah SAW: Islam itu adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yg disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji bagi yg berkemampuan.

Kemudian dia berkata: Benarlah engkau.

Kami kehairanan kerana dia yg bertanya dan dia juga yg membenarkan.

Kemudian dia bertanya lagi:
Khabarkan aku ttg Iman.

Lalu Baginda bersabda: Bahawa engkau beriman kpd Allah,malaikat2 Nya, kitab2 Nya, rasul2 Nya dan hari akhirat serta engkau beriman kpd takdir (ketentuan) yg baik dan yang buruk.

Kemudian dia berkata: Engkau benar. Ceritakan kpdku ttg Ehsan.

Lalu Baginda bersabda: Ehsan itu adalah engkau beribadah kpd Allah seakan akan engkau melihat Nya dan jika engkau tidak melihat Nya maka sesungguhnya Dia Maha Melihat engkau.

Kemudian dia berkata: Beritahukan aku ttg hari Kiamat (bila akan berlaku)?

Baginda bersabda: Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya.

Dia berkata: Kalau begitu ceritakan kpd aku tanda2 nya.

Baginda pun bersabda: Bahawa seorang hamba akan melahirkan tuannya,dan kamu akan melihat seorang yg bertelanjang(iaitu tidak mempunyai pakaian yg cukup) berkaki ayam, (hanya mengambil upah) menggembala kambing, (kemudian) mereka berlumba lumba membina bangunan tinggi.

Setelah itu, pemuda tersebut berlalu dan aku terdiam sebentar.

Kemudian Baginda bertanya: Tahukah engkau siapa yg bertanya itu?

Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

Baginda bersabda: Dia adalah Jibril yg dtg kpd kalian (bertujuan) mengajarkan kalian ttg agama kalian.

(Riwayat Muslim)

 Ketahuilah bahawa hadis ini sebagaimana ia meliputi 3 rukun dlm agama iaitu : Islam, Iman dan Ehsan. Maka ia turut mencakupi tiga cabang ilmu:

1. Ilmu Feqah, iaitu ilmu berkenaan hukum hakam syara' secara praktikal yg difardhukan oleh Allah SWT utk dilaksanakan oleh setiap kaum muslimin dan muslimat.

2. Ilmu tauhid, iaitu perkara yg wajib menjadi pegangan akidah setiap mukallaf drpd perkara2 Ilahiyyat(keTuhanan), Nubuwwat(kenabian), dan Sam'iyyat(perkara2 ghaib yg tidak ketahui melainkan apa yg dikhabarkan oleh Allah dan Rasul)

3. Ilmu tasawuf iaitu, ilmu berkaitan akhlak hati yg mana wajib ke atas setiap hamba utk memperhiaskan diri dgn nya drpd perkara2 yg menyelamatkan nya drpd api neraka dan menyucikan hati dgn nya drpd perkara yg membinasakan.

Maka ketiga tiga ilmu ini wajib bg setiap mukallaf mencari dan mempelajarinya, serta tiada rukhsah(keringanan atau alasan) utk meninggalkannya.

Sabda Baginda SAW: Tuntutlah ilmu walau ke negeri China. Sesungguhnya menuntut ilmu itu wajib utk ke atas setiap muslim.
( Riwayat 'Abdul Barr )

 Majlis Taalim Darul Murtadza
 Habib Ali Zainal Abidin


Written by Haura Jannah <3

Sunday, 14 September 2014

HADIS 8 : KEHORMATAN SEORANG MUSLIM

Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda: 

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mahu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah dan mereka mendirikan solat dan mereka menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukan itu, maka bererti mereka telah melindungi darah dan hartanyadariku melainkan dengan haq Islam dan hisab mereka di sisi Allah Taala.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab Iman (bab: Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat) nombor 25. Dalam kitab Shahhih Musim terdapat pada kitab Iman (bab: Perintah memerangi manusia sampai mereka mengatakan La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah, nombor 22. Sedang kalimah Illa bi Haqqil-Islam (melainkan dengan haq Islam) hanya terdapat dalam kitab Shahih Al Bukhari dan tidak ada di dalam kitab Shahih Muslim.

KEDUDUKAN HADIS 

Hadis ini ternyata tinggi sekali nilainya kerana ianya mencakupi berbagai kepentingan dari kaedah-kaedah agama Islam, iaitu syahadah yang disertai dengan keyakinan yang kukuh bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat sesuai dengan diperintahkan dan mengeluarkan zakat kepada yang berhak menerimanya

INTISARI HADIS 

1. Syarat keIslaman seseorang adalah dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
2. Tidak dilarang memerangi orang-orang musyrik kecuali apabila mereka mengucapkan dua kalimah syahadah itu. 
3. Dibenarkan memerangi orang-orang yang meninggalkan solat dan zakat.
4. keIslaman seseorang melindungi darah dan harta mereka.
5. Hukum hakam itu berlaku dalam urusan-urusan lahir, manakala dalam urusan-urusan batin, hukumnya berada di tangan Allah swt sendiri.
6. Orang telah mengucapkan dua kalimah syahadah, menegakkan solat dan mengeluarkan zakat, maka baginya berlaku hukum hakam Islam seperti qisas, hudud dan lain lain.
7. Tidak dibenarkan mengkafirkan ahli bid’ah yang masih tetap mengakui keEsaan Allah dan mengikuti syariat Islam.

TAFSIR HADIS

Hadis ini menerangkan bahawa Allah SWT menyuruh kita memerangi orang-orang kafir sehingga mereka mahu mengakui bahawa tiada Tuhan yang wajib dan berhak disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad saw adalah utusan Allah SWT serta mendirikan solat lima waktu sehari semalam dan mengeluarkan zakat sebagai tanda pengakuan keIslamannya.

Apabila mereka telah melaksanakan kesemuanya itu dan mentaati kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT , maka jiwa dan harta benda mereka dilindungi. Selain daripada itu, berlaku ke atas mereka hukum Islam seperti Qisas, hudu dan lain-lain. Apabila mereka melaksanakan kesemuanya itu dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT , maka mereka itu dinilai sebagai orang-orang mukmin. Tetapi apabila mereka melaksanakan semua itu dengan berpura-pura dan takut kehilangan jiwa dan harta bendanya, maka itu dinilai sebagai orang-orang munafiq (hipokrit). 

Dan Allah SWT Maha Mengetahui segala isi hati mereka dan Dia sendirilah yang akan menghitungnya. Dia maha Mengetahui  segala rahsia yang tersembunyi.

Prepared by: Cik Muda

Saturday, 13 September 2014

Hadis 7 : AGAMA ADALAH NASIHAT

AGAMA ADALAH NASIHAT* 

(*nasihat adalah kata untuk mengungkapkan keinginan agar terwujudnya kebaikan pada pihak yang dinasihati. Asal kata nasihat menurut bahasa adalah keikhlasan, seperti nashatul’asal jika saya menyaringkannya dari kotoran-kotoran dan membersihkannya. Dikatakan juga nasaha ar-rajul tsaubahu jika seseorang lelaki menjahit bajunya, maka orang yang menasihati diserupakan dengan orang yang memperbaiki pakaian)

Diriwayatkan dari Abu Ruqaiyah Tamim bin Aus Ad Dari ra bahawa Nabi saw telah bersabda: “Agama itu nasihat.” Kami bertanya: “Terhadap siapa?” Dia bersabda: “Terhadap Allah, terhadap kitabNya, terhadap RasulNya, terhadap pemimpin kaum Muslimin dan terhadap kaum awam mereka.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Iman (bab: Penjelasan bahawa agama adalah nasihat) nombor 55. Hadis ini hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim sendirian. Imam An Nawawi berkata: “Dalam kitab Shahih Al Bukhari tidak ada riwayat Tamim Ad Dari dari Nabi saw, sedang dalam kitab Shahih Muslim hanya pada bab ini, tidak pada tempat lainnya.”

KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini merupakan hadis yang ringkas dan padat yang merupakan ciri khusus Rasulullah saw dalam berbicara, iaitu kalimah yang ringkas tetapi merangkumi erti yang luas dan faedah yang tinggi sehingga kita melihat bahawa seluruh sunnah dan hukum syariat, baik yang dasar mahupun yang cabang terangkum dalam hadis ini. Bahkan hanya pada satu perkataan yang ada di dalamnya iaitu, “walikatabihi” (terhadap kitabnya). 

Kerana Kitab Allah mencakupi seluruh permasalahan agama, baik yang dasar mahupun yang cabang, amalan yang kukuh mahupun keyakinan. Jika seseorang beriman dan mengamalkan nasihat yang terkandung dalam Kitab Allah itu, maka dia sesungguhnya telah mencakupi seluruh bahagian syariatNya.

Allah swt berfirman yang bermaksud: “Tidaklah kami alpakan sedikitpun dalam al kitab.” (surah al an’am:38)

Kerana itu terdapat ulama yang berpendapat bahawa hadis ini merupakan sendi agama Islam.

INTISARI HADIS

1. Perintah untuk memberi nasihat. Betapa sangat pentingnya nasihat ini, sehingga islam itu umpama atau dianggap dengan nasihat.
2. Nasihat boleh dinamakan juga sebagai agama Islam.
3. Semasa memberi penerangan, para juru penerang hendaklah memulainya dengan hal-hal yang penting dan umum, kemudian diteruskan dengan penjelasannya secara terperinci, agar dapat diterima oleh para pendengarnya dengan mudah dan dapat memberikan keberkesanan dalam jiwanya.
4. Memberi nasihat bagi sesama Muslim itu adalah wajib walau di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja.
5. Nasihat bagi para imam atau pimpinan kaum Muslimin adalah menunjukkan keprihatinan orang-orang Islam dan sokongan mereka kepada pemimpin Islam dalam menegakkan kebenaran, ketaatan mereka kepada pimpinan dalam batas-batas syariat Islam, serta keberanian mereka untuk memperingatkan pimpinan Islam, apabila menyeleweng dari batas-batas syariat Islam.

TAFSIR HADIS

Nabi saw memberikan penerangan kepada kita bahawa Ad Din Islam yang hanif (lurus) menyuruh kita agar sentiasa bersedia memberi nasihat dengan ikhlas, beriman kepada keEsaan Allah SWT, beriman kepada sifat-sifat kesempurnaanNya dan mensucikanNya dari segala sifat kekurangan. 

Al Quran adalah firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril dan bukan buatan manusia. Kita harus mentaati hukum-hukumnya dan beriman kepada ayat-ayat mutasyabihatnya (ayat-ayat mutasyabihat adalah ayat-ayat yang masih samar maksudnya dan para ahli tafsir berbeza pendapat dalam mentafsirkannya atau mentakwilkannya). 

Beriman kepada Nabi Muhammad saw dan ajaran-ajaran yang dibawa olehnya, mentaati perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya. 
Nasihat bagi para ulama adalah membantu mereka dalam menegakkan kebenaran dan syariat Islam, mengingatkan mereka apabila mereka lalai dan leka dan mengajak orang-orang Islam kepada kebenaran dan syariat Islam serta menolong mereka dari gangguan orang-orang kafir dan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sesama Muslim. 

Selain daripada itu adalah mencintai Muslim sebagaimana mencintai dirinya sendiri.

Prepared by: Cik Muda

Thursday, 28 August 2014

Hadith 6 : Halal dan Haram

Diriwayatkan dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir ra, dia berkata: 

“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya mutasyabihat (perkara-perkara yang samar) yang mana kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara diri dari segala perkara-perkara syubhat itu, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agama da kehormatannya. Dan barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara-perkara yang haram seperti seorang pengembala yang mengembalakan kambingnya di sekitar kawasan terlarang yang nyaris kambingnya itu merumput di dalamnya. Ingatlah bahawa setiap raja mempunyai kawasan larangan! Ingatlah bahawa kawasan larangan Allah adalah apa yang diharamkanNya. Ingatlah bahawa di dalam jasad itu terdapat seketul daging; apabila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya. Ingatlah bahawa seketul daging itu adalah hati.”

(HADIS RIWAYAT AL BUKHARI DAN MUSLIM)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab Iman (Bab: Orang yang menjaga kesucian agamanya), nombor 52 juga dalam kitab Perdagangan. Sedang dalam kitab Sahih Muslim terdapat pada kitab Perdagangan (Bab: Mengambil yang halal dan meninggalkan yang syubhat), nombor 1599.

KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini disepakati atas martabatnya yang tinggi dan faedahnya yang banyak. Hadis ini merangkumi keseluruhan ajaran-ajaran Islam. Sekumpulan ulama mengatakan bahawa: “Hadis ini merangkumi sepertiga ajaran Islam.” 
Abu Daud berkata: “Barangsiapa yang mendalaminya, dia akan memperolehi semua kandungan yang disebutkan di atas, kerana hadis ini mencakupi penjelasan tentang halal, haram dan syubhat (meragukan, belum jelas antara halal dan haram, kerana tidak ada dalil yang tegas yang menghalalkan atau mengharamkannya), apa yang boleh memperbaiki hati dan yang akan merosakkannya. 

Semua ini menuntut kepada kita untu mengetahui hukum-hukum syariat, dasar-dasar dan cabang-cabangnya. Hadis ini juga merupakan dasar bagi sikap wara’, iaitu meninggalkan yang syubhat (ssamar).”

INTISARI HADIS 

1. Anjuran supaya mengerjakan perbuatan yang halal dan meninggalkan perbuatan yang haram dan syubhat (merupakan). 
2. Perbuatan yang syubhat itu tidak dilakukan kecuali oleh sebahagian kecil dari masyarakat.
3. Menjaga kesucian dalam urusan dalam urusan Ad Din dan menjaga kesucian kehormatan diri.
4. Orang yang tidak berhati-hati terhadap perkara-perkara yang syubhat dalam kehidupannya, bererti dia telah menjerumuskan dirinya ke dalam perkara yang haram.
5. Menghindari segala sesuatu yang boleh menjerumuskan kepada perkara yang haram.
6. Anjuran untuk memperbaiki hati kerana sekiranya hati itu baik, maka baiklah perbuatan-perbuatannya. Sebaliknya jika hati itu rosak, maka rosaklah pula perbuatan-perbuatannya. 
7. Akal itu terletak di hati.
8. Berusaha untuk memilih perbuatan yang baik menunjukkan bahawa hatinya baik.

TAFSIR HADIS 

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa setiap perkara yang dihalakan oleh Allah SWT dan RasulNya itu sudah terang dan jelas. Begitulah juga, setiap perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan RasulNya. Apa yang dikhuatirkan terhadap setiap Muslim adalah perkara-perkara yang masih syubhat, yang samar bagi kebanyakan orang. 

Maka sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas halal atau haramnya, sebenarnya orang itu telah menyempurnakan kesucian agamanya dan terhindar jauh dari kelakua yang haram serta terjaga kehormatannya dari aib dan cela yang mencemarkan dirinya di mata orang akibat melakukan perkara yang syubhat, bererti dia telah menjerumuskan dirinya ke dalam perbuatan yang haram dan celaan orang ramai. 

Kemudian Nabi saw menghimpunkan bahawa mereka yang mengerjakan perbuatan syubhat itu bagaikan pengembala yang mengembala binatang ternakannya berdekatan daerah yang terlarang untuk gembalaan, sehingga besar kemungkinannya binatang ternakannya itu akan memasuki daerah terlarang. 
Lalu Nabi saw memberikan isyarat bahawa segala perbuatan dan kelakuan zahir (kelihatan di luar) itu menunjukkan kebaikan atau keburukan batin yang ada di dalam diri seseorang. 

Baginda berkata, bahawa dalam tubuh seseorang itu terdapat seketul daging yang bernama Qalbu (hati) yang kebaikan atau keburukannya berbanding sama dengan perbuatan da tingkah laku seseorang. Apabila anggota tubuh seseorang itu berada dalam ketaatan menjalan perintah agama Islam atau perbuatan dan tingkah laku terpuji, bererti hatinya itu baik. Tetapi jika anggota tubuh seseorang itu berada dalam kemaksiatan atau perbuatan dan tingkah laku yang tercela, bererti hatinya itu sedang rosak atau buruk.

Wallahualam. Semoga bermanfaat. 

Prepared by: Cik Muda

Tuesday, 26 August 2014

Hadith 5 : MELENYAPKAN KEMUNGKARAN DAN MELENYAPKAN BID’AH


Diriwayatkan dari Ummul Mukminin Abdillah, Aisyah ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, 

“Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam urusan agama kita ini yang bukan bahagian darinya maka ia tertolak.”
(HADIS RIWAYAT AL BUKHARI DAN MUSLIM)

Sementara dalam riwayat Imam Muslim lainnya: “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan, di mana amalan itu bukan merupakan perintahku maka ia tertolak.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab Perdamaian (Bab: Jika minta berdamai dengan perdamaian yang batil, maka tertolak), nombor 2550. Sedang dalam kitab Sahih Muslim terdapat kitab Al Aqdhiyah (Bab: Batalnya hukum yang batil dan tertolaknya perkara yang diada-adakan), nombor 1718.

KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini merupakan salah satu dasar penting dan beberapa dasar-dasar Islam, sebagaimana hadis: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niatnya.” Yang merupakan petunjuk jelas untuk menilai amalan dari segi batil, setiap amalan yan ditujukan untuk memperolehi keredhaan Allah, maka pelakunya tidak akan mendapat pahala. Maka hadis ini merupakan pegangan (petunjuk) untuk menilai sesuatu amalan dari segi zahirnya. 

Setiap amalan yang tidak berlandaskan perintah Allah dan RasulNya, maka amalan tersebut tertolak dan sesiapa sahaja yang mengada-adakan sesuatu dalam agamanya yang tidak diizinkan Allah dan RasulNya, maka hal itu bukan sebahagian dari agama.

Imam An Nawawi rh berkata: “Hadis ini wajib dihafal dan dijadikan sebagai dalil untuk mencegah kemungkaran.”
Ibnu Hajar Al Haitami berkata: “Hadis ini merupakan salah satu daripada kaedah Islam yang sangat penting dan sangat luas manfaatnya dari segi maksudnya dan merupakan dalil yang menyeluruh atas setiap hukum syariat yang ditetapkan.”

INTISARI HADIS

1. Anjuran agar itba’ (mengikut sunnah Nabi saw dan mengamalkan segala yang diperintahkan) dan menghindari perbuatan bid’ah.
2. Tidak diterima segala perkara-perkara yang baru dalam urusan Ad Din dan tidak ada perbezaan antara perkara-perkara yang baru yang kita lakukan atau hanya sekadar mengikut orang lain. 
3. Segala sesuatu yang sesuai dengan syarak (syariat Ad Dinul Islam) ataua sesuai dengan kaedah-kaedah umum syarak, ia tidak tertolak.
4. Semua aqad (amalan yang diadakan) yang dilarang itu dan batal, sia-sia.
5. Keputusan hakim tidak dapat mengubah sesuatu hukum yang telah jelas haramnya dan halalnya.

TAFSIR HADIS

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap ibadah atau amalan yang syariatnya bukan dari Allah SWT dan RasulNya atau perkara-perkara yang baru dalam Dinul Islam yang tidak ada dasarnya dari Sunnah Nabi saw atau tidak ada dasarnya dari kaedah-kaedah umum(syarak), adalah tidak diterima dan orang melakukannya berdosa. 

Dan segala mu’amalah baru bertentangan dengan hum syarak, wajib ditolak. Setiap muslim hendaklah berhati-hati dari perbuatan bid’ah dalam agama dan hendaklah berpegang teguh kepada petunjuk Nabi Muhammad saw.

Prepared by: Cik Muda

Tuesday, 19 August 2014

Hadith 4 : TAHAP PENCIPTAAN MANUSIA DAN AMALAN TERAKHIRNYA

Diriwayatkan dari Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda kepada kami, sedang beliau adalah seorang yang benar lagi dibenarkan: 

“Sesungguhnya seseorang dari kalian dikumpulkan ciptaannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari berupa nutfah (air mani), lalu menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama empat puluh hari pula, lantas menjadi mudghah (seketul daging) pada waktu yang sama pula. Kemudian Allah mengirimkan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya dan dia diperintahkan menuliskan empat perkataan atau ketetapan, iaitu rezekinya, ajalnya, amalnya, dan kesengsaraannya atau kebahagiaannya. Dan demi Allah, Zat Yang Tiada Tuhan kecuali Dia, sesungguhnya seseorang di antara kalian ada yang beramal dengan amalan penghuni syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga tidak lebih dari sehasta. Lalu kitab suratan taqdir mendahuluinya, sehingga orang tersebut beramal dengan ahli neraka, maka dia pun masuk neraka. Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian ada yang beramal dengan amalan penghuni neraka hingga jarak antara dia dengan neraka tidak lebih dari sehasta. Lalu suratan taqdir mendahuluinya, sehingga orang tersebut beramal dengan amal ahli syurga, maka dia pun masuk syurga.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab sahihnya pada awal kitab Awal Penciptaan (Bab: Penyebutan malaikat) nombor 3036, juga pada awal kitab Al-Qadr, (Bab: Bagaimana penciptaan Adam) nombor 2643.

🌱KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini adalah merupakan hadis yang tinggi nilainya yang merangkumi segenap aspek keadaan manusia dari saat awal penciptaan, kelahiran ke dunia hingga masuk syurga (tempat kebahagiaan) atau masuk neraka (tempat kesengsaraan) sesuai dengan imu, taqdir dan qadha Allah.

🌱INTISARI HADIS

1. Isyarat kepada pengetahuan tentang proses kejadian manusia dan nasib perjalanan hidup manusia serta nasib akhir kehidupannya, kaya atau miskin, sengsara atau bahagia. 
2. Kebolehan bersumpah di atas berita yang benar untuk meyakinkan pendengarnya.
3. Beriman kepada Hari Kebangkitan dan kehidupan selepas kematian.
4. Penegasan adanya taqdir dan beriman kepada taqdir.
5. Rela dengan ketentuan Allah SWT bagi hambaNya dalam soal rezeki dan tidak tamak tetapi tetap terus berusaha.
6. Takut akhirnya hayatnya dengan Su’ul Khatimah (akhir hayat yang buruk).
7. Taubat itu dapat menghapuskan segala perbuatan yang tidak baik yang telah terjadi sebelumnya.
8. Kebahagiaan dan kesengsaraan telah dicatat sebelumnya. Manusia dengan mudah memperolehi apa yang telah ditentukan baginya.

🌱TAFSIR HADIS

Hadis ini menerangkan tentang awal kejadian manusia daripada satu peringkat ke peringkat yang lain, iaitu dari air mani lalu berubah menjadi ‘alaqah, kemudian berubah menjadi mudghah yang berbentuk, sehinggalah berbentuk manusia. Kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh ke atasnya, maka mulailah ia hidup bergerak-gerak, lalu ditulis baginya kematian, ketentuan umurnya dan perbuatan selama hidupnya, jahat atau baik, serta kebahagiaan atau kesengsaraannya.
Kemudian melalui hadis ini, nabi saw menyatakan tempat kembali manusia, apakah di syurga atau nerakan. Nabi saw memberi gambaran untuk memperingatkan manusia agar berhati-hati dengan kesudahan hayat kita, sama ada Su’ul Kahtimah (kesudahan hayat yang buruk) atau Husnul Khatimah (kesudahan hayat yang baik). Ini adalah kerana kemungkinan terdapat anak cucu Adam yang berbuat baik sepanjang umurnya dengan ketaatan kepada Allah SWT tetapi apabila setelah hampir ajalnya, tiba-tiba dia menyekutukan Allah SWT atau mengingkariNya lalu dia mati, maka tentulah dia masuk ke neraka. Sebaliknya yang berbrurk sepanjang umurnya dengan kekafiran dan maksiat tetapi menjelang ajalnya dia masuk Islam dan bertaubat dia masuk ke syurga.”

Wallahualam. Semoga bermanfaat. 

Prepared by: Cik Muda

Sunday, 17 August 2014

Hadith 3 : RUKUN ISLAM DAN DASAR-DASARNYA


Diriwayatkan dari Abu Abdur Rahman Abdullah bin Umar bin Al Khattab ra, berkata: 

"Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Islam dibinakan di atas lima perkara: Persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan ibadah haji ke Baitullah dan berpuasa di Bulan Ramadhan.” 

(HADIS RIWAYAT AL BUKHARI DAN MUSLIM)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab Iman (Bab: Iman dan sabda Nabi saw Islam dibangunkan di atas lima perkara) nombor 8. Ada pun dalam kitab Sahih Muslim terdapat dalam kitab Iman (Bab: Penjelasan tentang rukun Islam dan dasar-dasarnya yang tinggi martabatnya) nombor 16.

KEDUDUKAN HADIS

Hadis berkenaan “Rukun Islam merupakan hadis yang masyhur. Ia merupakan salah satu dasar-dasar Islam dan juga dasar-dasar hukum, kerana melalui hadis inilah akan diketahui seluruh ajaran Islam yang bersandar kepadanya dan kumpulan rukun-rukunnya. Semua rukun ini telah dinyatakan dengan tegas di dalam Al QuranulKarim.

INTISARI HADIS

1. Pengetahuan tentang rukun Islam dan melaksanakannya.
2. Lima kewajipan ini merupakan fardhu (wajib) ke atas orang-orang mukallaf (orang Muslim yang berakal sihat dan telah mencapai usia akil baligh)
3. Selain lima perkara itu, ianya termasuk amalan-amalan tambahan pelengkap, kecuali jika ada dalil yang mewajibknnya.
4. Perkataan ‘Ramadhan’ diertikan dengan bulan Ramadhan

TAFSIR HADIS

Nabi saw memberi nasihat kepada kita bahawa Dinul Islam itu mempunyai lima dasar atau perkara pokok. Tidak dapat dinyatakan Islam tanpa ada kelima-lima dasar itu. Lima dasar tersebut adalah:
1. Menyatakan Allah SWT itu Esa dan percaya kepada kerasulan Nabi Muhammad saw dan risalahnya.
2. Mendirikan solat lima waktu serta memenuhi semua syarat dan rukunnya.
3. Membayar zakat kepada mereka yang berhak menerimanya.
4. Berpuasa di bulan Ramadhan dengan niat suci.
5. Menunaikan ibadat haji bagi mereka yang berkemampuan memenuhi tuntutan perbekalan dan perjalanannya.
Selain daripada kelima-lima perkara pokok ini, ianya merupakan sebagai pelengkap dan tambahan kecuali jika terdapat dalil yang mewajibkannya. Jika ada dalil yang mewajibkannya, selain daripada semua 5 dasar itu, maka wajib bagi kita untuk melaksanakannya.

Semoga bermanfaat. Wallahualam. 

Prepared by: Cik Muda

Saturday, 16 August 2014

Hadith 2 : ISLAM, IMAN DAN IHSAN


Diriwayatkan dari Ibnu Umar bin Khattab ra, dia berkata: 

“Pada suatu hari ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tidak kelihatan darinya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan dan tidak ada seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Dia segera duduk di hadapan Nabi saw, lalu lututya disandarkan kepada lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya di atas dua paha Nabi saw, seraya berkata, “Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku tentang Islam.” 

Jawab Rasullulah saw, 

“Islam adalah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah, engkau mendirikan solat, engkau menunaikan zakat, engkau berpuasa pada bulan Ramadhan dan engkau menunaikan haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya.” 

Lelaki itu berkata, “ Engkau benar.” Maka kami pun merasa hairan kerana dia yang bertanya dan dia pula membenarkannya. Kemudian dia bertanya lagi, “Khabarkanlah kepadaku tentang Iman.” 

Jawab Nabi saw, 

“Engkau beriman kepada Allah, kepada malaikatNya, kepada kitab-kitabNya, kepada para RasulNya, kepada hari akhirat dan Engkau beriman kepada takdir Allah, yang baik dan yang buruk.” 

Dia berkata, “Engkau benar.” Dan dia bertanya lagi, “Khabarkanlah kepadaku tentang ihsan.” 
Jawab Nabi saw, 

“Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan bila engkau tidak mampu melihatNya sesungguhnya Dia melihatmu.” 

Lelaki itu berkata lagi, “Beritahukan aku bila tejadinya kiamat.” 
Jawab Nabi saw, “Yang ditanya tidaklah lebih tahu dari yang bertanya.” 
Dia pun bertanya, “beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!” 
jawab Nabi saw, 

“Jika seorang hamba telah melahirkan tuannya, (dari tanda dekatnya kiamat, ramai orang yang memiliki hamba perempuan, lalu mereka digaulinya sehingga lahir darinya anak yang disandarkan kepada tuannya. Maka anak tersebut berstatus sebagai tuan atas ibunya. Ini menurut satu pandangan. Juga dikatakan: “Hal ini merupakan kiasan dari merebaknya kederhakaan anak-anak sehingga para orang tua menjadi takut kepada anak-anaknya seperti para hamba merasa takut kepada tuannya. Demikian ini merupakan gambaran dari rosaknya zaman dan terbaliknya berbagai urusan.”), jika engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, telanjang, miskin dan pengembala kambing telah bersaing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan yang menjulang tinggi.” 

Setelah itu lelaki tersebut pun segera pergi. Aku pun terdiam sekian lamanya sehingga Nabi saw bersabda kepadaku, “Wahai Umar, tahukah engkau siapakah lelaki bertanya itu?” Aku menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda, “Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian, untuk mengajarkan kepada kalian tentang agama kalian.” 

(HADIS RIWAYAT MUSLIM)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, iaitu di awal kitab, bahagian Iman, nombor 8.

KEDUDUKAN HADIS

Ibnu Daqiq Al-I’ed berkata: “Ini adalah merupakan hadis yang sangat tinggi martabatnya, yang merangkumi semua bentuk amal yang zahir dan batin. Malah hadis ini adalah tempat kembali segala ilmu syariat, lahir darinya cabang-cabang ilmu, kerana hadis ini mencakupi semua makna yang terdapat dalam keseluruhan hadis. Sebagaimana surah Al Fatihah disebut sebagai ummul Quran induk Al Quran) kerana mencakupi semua makna yang terkandung dalam Al Quran.

INTISARI HADIS

1. Kemampuan malaikat menjelma kepada bentuk yang dikehendakinya.
2. Adab sopan santun pelajar terhadap gurunya.
3. Islam dan Iman apabila bersatu, Islam ditafsirkan sebagai amaliyyah lahir dan iman pula ditafsirkan sebagai amaliyyah batin.
4. Islam, Iman dan Ihsan ketiga-tiganya disebut sebagai Ad Din.
5. Hari kiamat adalah termasuk perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
6. Salah satu tanda datangnya hari kiamat adalah banyaknya hamba sahaya perempuan dan anak-anaknya. Atau orang-orang yang menyakiti ibu mereka seolah-olah mereka hamba dari kalangan anak-anak mereka.
7. Wajib beriman kepada qada’ (takdir) dan manusia harus rela dengan ketentuan qadar Allah SWT sama ada baik atau buruk.
8. Manusia hendaklah meninggalkan sikap berlagak seperti pandai dalam perkara yang tidak diketahuinya.
9. Pencelaan terhadap sesuatu perkara yang tidak diperlukan seperti berlebih-lebihan dalam membuat bangunan dan menghias atau mencantikkan rumah.
10. Pemberitahuan bahawa tanda-tanda dekatnya hari kiamat adalah dibukakan dunia untuk orang-orang kampung dan orang-orang papa, sehingga beralihlah perhatian mereka kepada pembangunan pelbagai bangunan. Mereka tidak mempunyai perhatian pada hal selain itu.

TAFSIR HADIS

Umar bin Khattab ra meriwayatkan kepada kita tentang hadis Jibril as yang masyhur ini, bahawa Jibril as telah menzahirkan diri di hadapan para sahabat menyerupai seorang lelaki yang tidak dikenali ketika mereka sedang duduk bersama Nabi saw. Jibril as duduk di hadapan Nabi saw seolah-olah seorang murid yang bertanya kepada Nabi saw berkenaan hal Islam, Iman dan Ihsan. 


Nabi saw menjawab pertanyaan dan menerangkan tentang Islam, bahawa rukun Islam meliputi kesaksian dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, membayar zakat kepada yang berhak, berpuasa di bulan Ramadhan dengan niat suci dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Berkaitan Iman pula Rasulullah saw menjawab dengan kepercayaan kewujudan Allah SWT. Zat Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rezeki, yang memiliki semua sifat kesempurnaan. Yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan, percaya kepada kewujudan para malaikat dan mereka semua telah diciptakan Allah SWT sebagai hamba-hamba yang dimuliakan yang diciptakan daripada Nur, tidak pernah melakukan maksiat kepada Allah SWT serta akur dan taat melaksanakan segala perintahNya. Percaya kepada kitab-kitab suci yang diturunkan olah Allah SWT kepada para utusanNya. Percaya kepada para Rasul yang diutus untuk menyampaikan Dinullah (Al-islam) kepada umatnya. 


Berkenaan Ihsan pula, Rasulullah saw menjawab bahawa manusia hendaklah menyembah (berbakti) kepada Allah SWT, seolah-olah mereka menyaksikanNya. Sekiranya mereka tidak mampu melakukan demikian, maka mereka hendaklah berbakti kepada Allah SWT kerana takut kepadaNya, menyedari bahawa Allah SWT itu Maha Mengetahui dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak diketahuiNya.


Hari kiamat itu tidak diketahui oleh sesiapa pun jua melainkan Allah SWT sendiri. Namun begitu, tanda-tanda datangnya Kiamat boleh diketahui, seperti banyaknya hamba sahaya dan anak-anaknya atau banyaknya anak-anak yang derhaka kepada ibunya. Mereka memperlakukan ibu mereka seperti perlakuan terhadap hamba sahaya mereka. Pengembala kambing dan orang-orang miskin mempunyai kesempatan dan kemudahan untuk mengejar dunia, di mana mereka saling berlumba membangun dan mengindahkan bangunan-bangunan.


Semua pertanyaan dan jawapan tadi untuk mengajar para sahabat tentang agama yang hanif (lurus) yang disampaikan Jibril as sebagaimana kata-kata Nabi saw: “ Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajar kepada kalian tentang agama Islam.”

Semoga bermanfaat 

Prepared by: Cik Muda