Diriwayatkan dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir ra, dia berkata:
“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya mutasyabihat (perkara-perkara yang samar) yang mana kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara diri dari segala perkara-perkara syubhat itu, maka sesungguhnya dia telah membersihkan agama da kehormatannya. Dan barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara-perkara yang haram seperti seorang pengembala yang mengembalakan kambingnya di sekitar kawasan terlarang yang nyaris kambingnya itu merumput di dalamnya. Ingatlah bahawa setiap raja mempunyai kawasan larangan! Ingatlah bahawa kawasan larangan Allah adalah apa yang diharamkanNya. Ingatlah bahawa di dalam jasad itu terdapat seketul daging; apabila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya. Ingatlah bahawa seketul daging itu adalah hati.”
(HADIS RIWAYAT AL BUKHARI DAN MUSLIM)
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab Iman (Bab: Orang yang menjaga kesucian agamanya), nombor 52 juga dalam kitab Perdagangan. Sedang dalam kitab Sahih Muslim terdapat pada kitab Perdagangan (Bab: Mengambil yang halal dan meninggalkan yang syubhat), nombor 1599.
KEDUDUKAN HADIS
Hadis ini disepakati atas martabatnya yang tinggi dan faedahnya yang banyak. Hadis ini merangkumi keseluruhan ajaran-ajaran Islam. Sekumpulan ulama mengatakan bahawa: “Hadis ini merangkumi sepertiga ajaran Islam.”
Abu Daud berkata: “Barangsiapa yang mendalaminya, dia akan memperolehi semua kandungan yang disebutkan di atas, kerana hadis ini mencakupi penjelasan tentang halal, haram dan syubhat (meragukan, belum jelas antara halal dan haram, kerana tidak ada dalil yang tegas yang menghalalkan atau mengharamkannya), apa yang boleh memperbaiki hati dan yang akan merosakkannya.
Semua ini menuntut kepada kita untu mengetahui hukum-hukum syariat, dasar-dasar dan cabang-cabangnya. Hadis ini juga merupakan dasar bagi sikap wara’, iaitu meninggalkan yang syubhat (ssamar).”
INTISARI HADIS
1. Anjuran supaya mengerjakan perbuatan yang halal dan meninggalkan perbuatan yang haram dan syubhat (merupakan).
2. Perbuatan yang syubhat itu tidak dilakukan kecuali oleh sebahagian kecil dari masyarakat.
3. Menjaga kesucian dalam urusan dalam urusan Ad Din dan menjaga kesucian kehormatan diri.
4. Orang yang tidak berhati-hati terhadap perkara-perkara yang syubhat dalam kehidupannya, bererti dia telah menjerumuskan dirinya ke dalam perkara yang haram.
5. Menghindari segala sesuatu yang boleh menjerumuskan kepada perkara yang haram.
6. Anjuran untuk memperbaiki hati kerana sekiranya hati itu baik, maka baiklah perbuatan-perbuatannya. Sebaliknya jika hati itu rosak, maka rosaklah pula perbuatan-perbuatannya.
7. Akal itu terletak di hati.
8. Berusaha untuk memilih perbuatan yang baik menunjukkan bahawa hatinya baik.
TAFSIR HADIS
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa setiap perkara yang dihalakan oleh Allah SWT dan RasulNya itu sudah terang dan jelas. Begitulah juga, setiap perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan RasulNya. Apa yang dikhuatirkan terhadap setiap Muslim adalah perkara-perkara yang masih syubhat, yang samar bagi kebanyakan orang.
Maka sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas halal atau haramnya, sebenarnya orang itu telah menyempurnakan kesucian agamanya dan terhindar jauh dari kelakua yang haram serta terjaga kehormatannya dari aib dan cela yang mencemarkan dirinya di mata orang akibat melakukan perkara yang syubhat, bererti dia telah menjerumuskan dirinya ke dalam perbuatan yang haram dan celaan orang ramai.
Kemudian Nabi saw menghimpunkan bahawa mereka yang mengerjakan perbuatan syubhat itu bagaikan pengembala yang mengembala binatang ternakannya berdekatan daerah yang terlarang untuk gembalaan, sehingga besar kemungkinannya binatang ternakannya itu akan memasuki daerah terlarang.
Lalu Nabi saw memberikan isyarat bahawa segala perbuatan dan kelakuan zahir (kelihatan di luar) itu menunjukkan kebaikan atau keburukan batin yang ada di dalam diri seseorang.
Baginda berkata, bahawa dalam tubuh seseorang itu terdapat seketul daging yang bernama Qalbu (hati) yang kebaikan atau keburukannya berbanding sama dengan perbuatan da tingkah laku seseorang. Apabila anggota tubuh seseorang itu berada dalam ketaatan menjalan perintah agama Islam atau perbuatan dan tingkah laku terpuji, bererti hatinya itu baik. Tetapi jika anggota tubuh seseorang itu berada dalam kemaksiatan atau perbuatan dan tingkah laku yang tercela, bererti hatinya itu sedang rosak atau buruk.
Wallahualam. Semoga bermanfaat.
Prepared by: Cik Muda
No comments:
Post a Comment