AGAMA ADALAH NASIHAT*
(*nasihat adalah kata untuk mengungkapkan keinginan agar terwujudnya kebaikan pada pihak yang dinasihati. Asal kata nasihat menurut bahasa adalah keikhlasan, seperti nashatul’asal jika saya menyaringkannya dari kotoran-kotoran dan membersihkannya. Dikatakan juga nasaha ar-rajul tsaubahu jika seseorang lelaki menjahit bajunya, maka orang yang menasihati diserupakan dengan orang yang memperbaiki pakaian)
Diriwayatkan dari Abu Ruqaiyah Tamim bin Aus Ad Dari ra bahawa Nabi saw telah bersabda: “Agama itu nasihat.” Kami bertanya: “Terhadap siapa?” Dia bersabda: “Terhadap Allah, terhadap kitabNya, terhadap RasulNya, terhadap pemimpin kaum Muslimin dan terhadap kaum awam mereka.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Iman (bab: Penjelasan bahawa agama adalah nasihat) nombor 55. Hadis ini hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim sendirian. Imam An Nawawi berkata: “Dalam kitab Shahih Al Bukhari tidak ada riwayat Tamim Ad Dari dari Nabi saw, sedang dalam kitab Shahih Muslim hanya pada bab ini, tidak pada tempat lainnya.”
KEDUDUKAN HADIS
Hadis ini merupakan hadis yang ringkas dan padat yang merupakan ciri khusus Rasulullah saw dalam berbicara, iaitu kalimah yang ringkas tetapi merangkumi erti yang luas dan faedah yang tinggi sehingga kita melihat bahawa seluruh sunnah dan hukum syariat, baik yang dasar mahupun yang cabang terangkum dalam hadis ini. Bahkan hanya pada satu perkataan yang ada di dalamnya iaitu, “walikatabihi” (terhadap kitabnya).
Kerana Kitab Allah mencakupi seluruh permasalahan agama, baik yang dasar mahupun yang cabang, amalan yang kukuh mahupun keyakinan. Jika seseorang beriman dan mengamalkan nasihat yang terkandung dalam Kitab Allah itu, maka dia sesungguhnya telah mencakupi seluruh bahagian syariatNya.
Allah swt berfirman yang bermaksud: “Tidaklah kami alpakan sedikitpun dalam al kitab.” (surah al an’am:38)
Kerana itu terdapat ulama yang berpendapat bahawa hadis ini merupakan sendi agama Islam.
INTISARI HADIS
1. Perintah untuk memberi nasihat. Betapa sangat pentingnya nasihat ini, sehingga islam itu umpama atau dianggap dengan nasihat.
2. Nasihat boleh dinamakan juga sebagai agama Islam.
3. Semasa memberi penerangan, para juru penerang hendaklah memulainya dengan hal-hal yang penting dan umum, kemudian diteruskan dengan penjelasannya secara terperinci, agar dapat diterima oleh para pendengarnya dengan mudah dan dapat memberikan keberkesanan dalam jiwanya.
4. Memberi nasihat bagi sesama Muslim itu adalah wajib walau di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja.
5. Nasihat bagi para imam atau pimpinan kaum Muslimin adalah menunjukkan keprihatinan orang-orang Islam dan sokongan mereka kepada pemimpin Islam dalam menegakkan kebenaran, ketaatan mereka kepada pimpinan dalam batas-batas syariat Islam, serta keberanian mereka untuk memperingatkan pimpinan Islam, apabila menyeleweng dari batas-batas syariat Islam.
TAFSIR HADIS
Nabi saw memberikan penerangan kepada kita bahawa Ad Din Islam yang hanif (lurus) menyuruh kita agar sentiasa bersedia memberi nasihat dengan ikhlas, beriman kepada keEsaan Allah SWT, beriman kepada sifat-sifat kesempurnaanNya dan mensucikanNya dari segala sifat kekurangan.
Al Quran adalah firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril dan bukan buatan manusia. Kita harus mentaati hukum-hukumnya dan beriman kepada ayat-ayat mutasyabihatnya (ayat-ayat mutasyabihat adalah ayat-ayat yang masih samar maksudnya dan para ahli tafsir berbeza pendapat dalam mentafsirkannya atau mentakwilkannya).
Beriman kepada Nabi Muhammad saw dan ajaran-ajaran yang dibawa olehnya, mentaati perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya.
Nasihat bagi para ulama adalah membantu mereka dalam menegakkan kebenaran dan syariat Islam, mengingatkan mereka apabila mereka lalai dan leka dan mengajak orang-orang Islam kepada kebenaran dan syariat Islam serta menolong mereka dari gangguan orang-orang kafir dan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sesama Muslim.
Selain daripada itu adalah mencintai Muslim sebagaimana mencintai dirinya sendiri.
Prepared by: Cik Muda
No comments:
Post a Comment