expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>
as l0ng as i breath...may G0d bless us...

Saturday, 16 August 2014

Hadith 2 : ISLAM, IMAN DAN IHSAN


Diriwayatkan dari Ibnu Umar bin Khattab ra, dia berkata: 

“Pada suatu hari ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tidak kelihatan darinya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan dan tidak ada seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Dia segera duduk di hadapan Nabi saw, lalu lututya disandarkan kepada lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya di atas dua paha Nabi saw, seraya berkata, “Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku tentang Islam.” 

Jawab Rasullulah saw, 

“Islam adalah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah, engkau mendirikan solat, engkau menunaikan zakat, engkau berpuasa pada bulan Ramadhan dan engkau menunaikan haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya.” 

Lelaki itu berkata, “ Engkau benar.” Maka kami pun merasa hairan kerana dia yang bertanya dan dia pula membenarkannya. Kemudian dia bertanya lagi, “Khabarkanlah kepadaku tentang Iman.” 

Jawab Nabi saw, 

“Engkau beriman kepada Allah, kepada malaikatNya, kepada kitab-kitabNya, kepada para RasulNya, kepada hari akhirat dan Engkau beriman kepada takdir Allah, yang baik dan yang buruk.” 

Dia berkata, “Engkau benar.” Dan dia bertanya lagi, “Khabarkanlah kepadaku tentang ihsan.” 
Jawab Nabi saw, 

“Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan bila engkau tidak mampu melihatNya sesungguhnya Dia melihatmu.” 

Lelaki itu berkata lagi, “Beritahukan aku bila tejadinya kiamat.” 
Jawab Nabi saw, “Yang ditanya tidaklah lebih tahu dari yang bertanya.” 
Dia pun bertanya, “beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!” 
jawab Nabi saw, 

“Jika seorang hamba telah melahirkan tuannya, (dari tanda dekatnya kiamat, ramai orang yang memiliki hamba perempuan, lalu mereka digaulinya sehingga lahir darinya anak yang disandarkan kepada tuannya. Maka anak tersebut berstatus sebagai tuan atas ibunya. Ini menurut satu pandangan. Juga dikatakan: “Hal ini merupakan kiasan dari merebaknya kederhakaan anak-anak sehingga para orang tua menjadi takut kepada anak-anaknya seperti para hamba merasa takut kepada tuannya. Demikian ini merupakan gambaran dari rosaknya zaman dan terbaliknya berbagai urusan.”), jika engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, telanjang, miskin dan pengembala kambing telah bersaing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan yang menjulang tinggi.” 

Setelah itu lelaki tersebut pun segera pergi. Aku pun terdiam sekian lamanya sehingga Nabi saw bersabda kepadaku, “Wahai Umar, tahukah engkau siapakah lelaki bertanya itu?” Aku menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda, “Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian, untuk mengajarkan kepada kalian tentang agama kalian.” 

(HADIS RIWAYAT MUSLIM)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, iaitu di awal kitab, bahagian Iman, nombor 8.

KEDUDUKAN HADIS

Ibnu Daqiq Al-I’ed berkata: “Ini adalah merupakan hadis yang sangat tinggi martabatnya, yang merangkumi semua bentuk amal yang zahir dan batin. Malah hadis ini adalah tempat kembali segala ilmu syariat, lahir darinya cabang-cabang ilmu, kerana hadis ini mencakupi semua makna yang terdapat dalam keseluruhan hadis. Sebagaimana surah Al Fatihah disebut sebagai ummul Quran induk Al Quran) kerana mencakupi semua makna yang terkandung dalam Al Quran.

INTISARI HADIS

1. Kemampuan malaikat menjelma kepada bentuk yang dikehendakinya.
2. Adab sopan santun pelajar terhadap gurunya.
3. Islam dan Iman apabila bersatu, Islam ditafsirkan sebagai amaliyyah lahir dan iman pula ditafsirkan sebagai amaliyyah batin.
4. Islam, Iman dan Ihsan ketiga-tiganya disebut sebagai Ad Din.
5. Hari kiamat adalah termasuk perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
6. Salah satu tanda datangnya hari kiamat adalah banyaknya hamba sahaya perempuan dan anak-anaknya. Atau orang-orang yang menyakiti ibu mereka seolah-olah mereka hamba dari kalangan anak-anak mereka.
7. Wajib beriman kepada qada’ (takdir) dan manusia harus rela dengan ketentuan qadar Allah SWT sama ada baik atau buruk.
8. Manusia hendaklah meninggalkan sikap berlagak seperti pandai dalam perkara yang tidak diketahuinya.
9. Pencelaan terhadap sesuatu perkara yang tidak diperlukan seperti berlebih-lebihan dalam membuat bangunan dan menghias atau mencantikkan rumah.
10. Pemberitahuan bahawa tanda-tanda dekatnya hari kiamat adalah dibukakan dunia untuk orang-orang kampung dan orang-orang papa, sehingga beralihlah perhatian mereka kepada pembangunan pelbagai bangunan. Mereka tidak mempunyai perhatian pada hal selain itu.

TAFSIR HADIS

Umar bin Khattab ra meriwayatkan kepada kita tentang hadis Jibril as yang masyhur ini, bahawa Jibril as telah menzahirkan diri di hadapan para sahabat menyerupai seorang lelaki yang tidak dikenali ketika mereka sedang duduk bersama Nabi saw. Jibril as duduk di hadapan Nabi saw seolah-olah seorang murid yang bertanya kepada Nabi saw berkenaan hal Islam, Iman dan Ihsan. 


Nabi saw menjawab pertanyaan dan menerangkan tentang Islam, bahawa rukun Islam meliputi kesaksian dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, membayar zakat kepada yang berhak, berpuasa di bulan Ramadhan dengan niat suci dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Berkaitan Iman pula Rasulullah saw menjawab dengan kepercayaan kewujudan Allah SWT. Zat Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rezeki, yang memiliki semua sifat kesempurnaan. Yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan, percaya kepada kewujudan para malaikat dan mereka semua telah diciptakan Allah SWT sebagai hamba-hamba yang dimuliakan yang diciptakan daripada Nur, tidak pernah melakukan maksiat kepada Allah SWT serta akur dan taat melaksanakan segala perintahNya. Percaya kepada kitab-kitab suci yang diturunkan olah Allah SWT kepada para utusanNya. Percaya kepada para Rasul yang diutus untuk menyampaikan Dinullah (Al-islam) kepada umatnya. 


Berkenaan Ihsan pula, Rasulullah saw menjawab bahawa manusia hendaklah menyembah (berbakti) kepada Allah SWT, seolah-olah mereka menyaksikanNya. Sekiranya mereka tidak mampu melakukan demikian, maka mereka hendaklah berbakti kepada Allah SWT kerana takut kepadaNya, menyedari bahawa Allah SWT itu Maha Mengetahui dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak diketahuiNya.


Hari kiamat itu tidak diketahui oleh sesiapa pun jua melainkan Allah SWT sendiri. Namun begitu, tanda-tanda datangnya Kiamat boleh diketahui, seperti banyaknya hamba sahaya dan anak-anaknya atau banyaknya anak-anak yang derhaka kepada ibunya. Mereka memperlakukan ibu mereka seperti perlakuan terhadap hamba sahaya mereka. Pengembala kambing dan orang-orang miskin mempunyai kesempatan dan kemudahan untuk mengejar dunia, di mana mereka saling berlumba membangun dan mengindahkan bangunan-bangunan.


Semua pertanyaan dan jawapan tadi untuk mengajar para sahabat tentang agama yang hanif (lurus) yang disampaikan Jibril as sebagaimana kata-kata Nabi saw: “ Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajar kepada kalian tentang agama Islam.”

Semoga bermanfaat 

Prepared by: Cik Muda

No comments: