expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>
as l0ng as i breath...may G0d bless us...

Sunday 14 September 2014

HADIS 8 : KEHORMATAN SEORANG MUSLIM

Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda: 

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mahu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah dan mereka mendirikan solat dan mereka menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukan itu, maka bererti mereka telah melindungi darah dan hartanyadariku melainkan dengan haq Islam dan hisab mereka di sisi Allah Taala.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab Iman (bab: Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat) nombor 25. Dalam kitab Shahhih Musim terdapat pada kitab Iman (bab: Perintah memerangi manusia sampai mereka mengatakan La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah, nombor 22. Sedang kalimah Illa bi Haqqil-Islam (melainkan dengan haq Islam) hanya terdapat dalam kitab Shahih Al Bukhari dan tidak ada di dalam kitab Shahih Muslim.

KEDUDUKAN HADIS 

Hadis ini ternyata tinggi sekali nilainya kerana ianya mencakupi berbagai kepentingan dari kaedah-kaedah agama Islam, iaitu syahadah yang disertai dengan keyakinan yang kukuh bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat sesuai dengan diperintahkan dan mengeluarkan zakat kepada yang berhak menerimanya

INTISARI HADIS 

1. Syarat keIslaman seseorang adalah dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
2. Tidak dilarang memerangi orang-orang musyrik kecuali apabila mereka mengucapkan dua kalimah syahadah itu. 
3. Dibenarkan memerangi orang-orang yang meninggalkan solat dan zakat.
4. keIslaman seseorang melindungi darah dan harta mereka.
5. Hukum hakam itu berlaku dalam urusan-urusan lahir, manakala dalam urusan-urusan batin, hukumnya berada di tangan Allah swt sendiri.
6. Orang telah mengucapkan dua kalimah syahadah, menegakkan solat dan mengeluarkan zakat, maka baginya berlaku hukum hakam Islam seperti qisas, hudud dan lain lain.
7. Tidak dibenarkan mengkafirkan ahli bid’ah yang masih tetap mengakui keEsaan Allah dan mengikuti syariat Islam.

TAFSIR HADIS

Hadis ini menerangkan bahawa Allah SWT menyuruh kita memerangi orang-orang kafir sehingga mereka mahu mengakui bahawa tiada Tuhan yang wajib dan berhak disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad saw adalah utusan Allah SWT serta mendirikan solat lima waktu sehari semalam dan mengeluarkan zakat sebagai tanda pengakuan keIslamannya.

Apabila mereka telah melaksanakan kesemuanya itu dan mentaati kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT , maka jiwa dan harta benda mereka dilindungi. Selain daripada itu, berlaku ke atas mereka hukum Islam seperti Qisas, hudu dan lain-lain. Apabila mereka melaksanakan kesemuanya itu dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT , maka mereka itu dinilai sebagai orang-orang mukmin. Tetapi apabila mereka melaksanakan semua itu dengan berpura-pura dan takut kehilangan jiwa dan harta bendanya, maka itu dinilai sebagai orang-orang munafiq (hipokrit). 

Dan Allah SWT Maha Mengetahui segala isi hati mereka dan Dia sendirilah yang akan menghitungnya. Dia maha Mengetahui  segala rahsia yang tersembunyi.

Prepared by: Cik Muda

No comments: