expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>
as l0ng as i breath...may G0d bless us...

Thursday, 14 August 2014

Hadith 1 : Niat adalah Kunci Amalan

Diriwayatkan dari Amirul Mukminin Abu Hafsh Umar bin Khattab r.a, dia berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“ Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan setiap orang hanya memperolehi apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia akan perolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya.”
Hadis ini diriwayatkan oleh dua Imam hadis iaitu Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhari dan Abu Al husain Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi dalam kitab sahih keduanya, yang merupakan kitab paling sahih tentang hadis.

Imam Al Bukhari meriwayatkan hadis ini pada bahagian awal kitabnya iaitu; bahagian Iman (Bab: Tentang sesungguhnya amal itu bergantung kepada niat baik dan setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya) dan di bahagian lain dalam kitabnya. Sementara itu, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Imarah (Bab: Ucapan: “Sesungguhnya amal itu bergantung pada niat”), nombor 1907.

KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini merupakan hadis penting, ia menjadi prinsip utama dalam agama dan kepada bersumber semua hukum syariat. Hal ini akan kelihatan jelas dengan berbagai pendapat dan pandangan dari kalangan ulama’. 
Imam Abu Daud berkata: “Hadis ini, “Sesungguhnya amal bergantung pada niat.” Adalah setengah daripada agama Islam. Ini adalah kerana agama itu terbahagi kepada yang zahir, iaitu amal dan yang batin iaitu niat.”
Imam Ahmad dan Asy-Syafie berkata: “Hadis ini merupakan sepertiga ilmu, kerana seseorang hamba itu akan mendapat pahala berkat daripada perbuatan hati, lisan dan anggota badannya, dan niat dilakukan dengan hati yang merupakan salah satu di antara yang tiga tersebut.” Oleh kerana itu, para ulama’ menyukai memulakan penulisan kitab mereka dengan hadis ini. 
Imam Al Bukhari meriwayatkan hadis ini di permulaan kitab sahihnya. Imam An Nawawi meletakkan hadis ini pada ketiga-tiga kitabnya iaitu, Riyadhus Solihin, Al Adzkar dan Al Arbain. Kebaikan dan manfaat disebutkan hadis ini pada permulaan kitab adalah untuk memberi peringatan kepada pencari ilmu agar meluruskan niatnya dengan hanya mencari keredhaan Allah SWT dalam mencari ilmu dan mengamalkan kebaikan. 

SEBAB TIMBULNYA HADIS INI

Riwayat At Thabrani dengan perawinya yang dipercayai, dari Ibnu Mas’ud ra dia berkata: “ Di kalangan kami terdapat seorang lelaki yang melamar seorang wanita yang bernama Ummu Qais, tetapi dia menolaknya kecuali jika lelaki itu sedia berhijrah. Maka lelaki itu pun berhijrah dan menikahinya. Maka kami menamakannya Muhajir Ummu Qais.” 

INTISARI HADIS

1. Seseorang itu tidak boleh berhajat untuk melakukan sesuatu perbuatan kecuali dia mengetahui hukumnya.
2. Niat itu tidak boleh diwakilkan (pelaku atau orang itu sendiri yang berniat).
3. Pekerjaan seseorang itu tidak sah apabila tidak disertakan dengan niat dan semua pekerjaan yang tidak disertakan dengan niat itu tidak sah.
4. Tidak boleh berniat dalam semua ibadah kecuali apabila ibadah itu disyariatkan.
5. Keutamaan hijrah dari negeri-negeri orang-orang musyrik ke negeri-negeri orang Muslim demi mencari keredhaan Allah SWT atau berhijrah dari negeri yang penduduknya yang bermaksiat ke negeri di mana penduduknya bebas dari maksiat.
6. Ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah SWT dan berwaspada dari sikap Riak.
7. Niat itu tempatnya di hati. Ada pun melafazkannya niat di lisan atau mulut itu tidak ada tuntutannya dalam syariat.

TAFSIR HADIS

Hadis ini merupakan salah satu prinsip dalam agama Islam, di mana berlandaskan prinsip Islam itu berdiri tegak. 

Rasulullah SAW telah menyatakan di dalam hadis ini, bahawa semua perbuatan yang disyariatkan Islam memerlukan kepada kewujudan atau lafaz niat. 

Semua perkataan dan perbuatan setiap mukmin tidak sah dan tidak diterima tanpa ada niat. Ini kerana niat merupakan dasar dan ukuran bagi setiap perbuatan, perlakuan dan perkataan.

Setiap perbuatan itu dinilai baik selagimana niatnya baik dan sebaliknya setiap perbuatan itu dinilai buruk selama mana niatnya itu buruk. Maka apabila mengikut tuntutan syariat, maka perbuatan itu diterima. 

Namun, jika sebaliknya, perbuatan itu tidak diterima. (seperti perbuatan baik dengan niat buruk atau perbuatan buruk dengan niat baik, atau niatnya baik tetapi perbuatan itu tidak disyariatkan semuanya sama sahaja yakni tidak diterima)

Sebagai contoh, seseorang yang berhijrah dari negeri bukan Muslim ke negeri Muslim, demi cintanya kepada Allah SWT dan Islam, maka orang itu memperolehi balasan sesuai dengan niatnya. Apabila maksud dan tujuannya adalah  berkaitan dengan hal hal duniawi seperti untuk mencari harta dan kekayaan atau untuk memperisterikan seorang wanita maka balasannya adalah harta benda atau isteri yang diinginkannya itu. (iaitu, dia tidak mendapat balasan pahala berhijrah)

Allah SWT Maha Mengetahui segala rahsia tersembunyi dan Dia juga Maha Rahsia. Allah SWT akan memberi balasan kepada setiap pelaku perbuatan. Apabila perbuatan itu baik, maka balasannya juga baik. Tetapi jika sebaliknya, maka buruklah balasan yang diterima.

Wallahualam. 
Semoga bermanfaat.

Prepared by: Cik Muda

No comments: