Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha:
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara
puasa sunat syawwal dan puasa qadha?
Jawapannya:
Sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih:
ﻭﻣﺎ ﺗﻘﺮﺏ ﺇﻟﻲ ﻋﺒﺪﻱ ﺑﺸﻲﺀ ﺃﺣﺐ ﺇﻟﻲ ﻣﻤﺎ ﺍﻓﺘﺮﺿﺖ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﻣﺎ ﻳﺰﺍﻝ ﻋﺒﺪﻱ ﻳﺘﻘﺮﺏ ﺇﻟﻲ ﺑﺎﻟﻨﻮﺍﻓﻞ ﺣﺘﻰ ﺃﺣﺒﻪ
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu
dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah
mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka,
dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka
kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah
aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun
dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut
keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya
selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat.
Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu.
Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang
singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa
Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita
mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat
Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah
mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW:
ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﻛﺘﺐ ﺍﻟﺤﺴﻨﺎﺕ ﻭﺍﻟﺴﻴﺌﺎﺕ ﺛﻢ ﺑﻴﻦ ﺫﻟﻚ ﻓﻤﻦ ﻫﻢ ﺑﺤﺴﻨﺔ ﻓﻠﻢ ﻳﻌﻤﻠﻬﺎ ﻛﺘﺒﻬﺎ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ ﻋﻨﺪﻩ
ﺣﺴﻨﺔ ﻛﺎﻣﻠﺔ ﻓﺈﻥ ﻫﻮ ﻫﻢ ﺑﻬﺎ ﻓﻌﻤﻠﻬﺎ ﻛﺘﺒﻬﺎ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ ﻋﻨﺪﻩ ﻋﺸﺮ ﺣﺴﻨﺎﺕ ﺇﻟﻰ ﺳﺒﻊ ﻣﺎﺋﺔ ﺿﻌﻒ
ﺇﻟﻰ ﺃﺿﻌﺎﻑ ﻛﺜﻴﺮﺓ ﻭﻣﻦ ﻫﻢ ﺑﺴﻴﺌﺔ ﻓﻠﻢ ﻳﻌﻤﻠﻬﺎ ﻛﺘﺒﻬﺎ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ ﻋﻨﺪﻩ ﺣﺴﻨﺔ ﻛﺎﻣﻠﺔ ﻓﺈﻥ ﻫﻮ ﻫﻢ ﺑﻬﺎ ﻓﻌﻤﻠﻬﺎ ﻛﺘﺒﻬﺎ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ ﺳﻴﺌﺔ ﻭﺍﺣﺪﺓ
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan
kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan
kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700
kali ganda.."
( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah
lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah
jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa
qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah
dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah
sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya
adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi
mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-
lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya
tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah
melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya
maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik
kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang mengharuskan
penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha
(yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka
sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba
menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti
gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan
‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat
jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini
pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib
termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh
campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah
Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan)
mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh
digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain,
kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang
tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu
bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan
menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan
hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu
a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh
di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua
puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih
sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak
menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
ﻛﺄﻥ ﻳﻜﻮﻥ ﻋﻠﻲّ ﺍﻟﺼﻴﺎﻡ ﻣﻦ ﺷﻬﺮ ﺭﻣﻀﺎﻥ ﻓﻤﺎ ﺃﻗﻀﻴﻪ ﺣﺘﻰ ﻳﺠﺊ ﺷﻌﺒﺎﻥ
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa
Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang
sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang
‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia
dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya
kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya
mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun
syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah
menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas
menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap
mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat
dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala
al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min
Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat
tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian
menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan
Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr
Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini
ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
ﻣﻦ ﺻﺎﻡ ﺭﻣﻀﺎﻥ ﺛﻢ ﺃﺗﺒﻌﻪ ﺳﺘﺎً ﻣﻦ ﺷﻮﺍﻝ ﻓﻜﺄﻧﻤﺎ ﺻﺎﻡ ﺍﻟﺪﻫﺮ
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no
6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past
tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh
membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa
Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian
barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala
sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan
bagi seseorang apa yang diniatkan."
(Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan
adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-
caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di
cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa
lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira.
(Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-
Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat
sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan:
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini:
Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan
yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai
rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai
kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab
Syafie
(Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim
Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis
fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian:
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment